AGENDA

300 penduduk dua taman di Kuala Langat tunggu keputusan saringan Covid-19

9 Jun 2020, 5:33 AM
300 penduduk dua taman di Kuala Langat tunggu keputusan saringan Covid-19

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 300 penduduk Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19, kata Pegawai Daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata setakat jam 12 tengah hari ini bilangan positif wabak dalam kalangan penduduk kawasan tersebut adalah sembilan kes.

"Nasihat saya kepada penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran supaya kekal di rumah melainkan atas urusan benar-benar penting sahaja.

"Amalkan penjarakan sosial, sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di kawasan awam dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan arahan pihak berkuasa," katanya kepada SelangorKini hari ini.

PKP secara pentadbiran dikuat kuasakan di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama pada 2 Jun apabila 24 pekerja pembersihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di taman berkenaan positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring dan ia membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni menjadi lokasi PKP secara pentadbiran terbesar di Malaysia meliputi kawasan seluas 42.8 hektar yang menempatkan 1,752 rumah selain dipasang kawat duri terpanjang iaitu 4.1 kilometer.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619