AGENDA

Operasi kedai gunting, dandan rambut dibenarkan bermula 10 Jun

6 Jun 2020, 6:53 AM
Operasi kedai gunting, dandan rambut dibenarkan bermula 10 Jun

SHAH ALAM, 6 JUN: Perkhidmatan gunting serta dandan rambut dibenarkan beroperasi semula bermula 10 Jun ini dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun warga emas berusia 60 ke atas diwajibkan membuat temujanji terlebih dahulu sementara kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah perlu memakai alat pelindung diri dan apron pakai buang.

"Ini adalah perniagaan yang paling ditunggu-tunggu, oleh itu selepas perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kedai gunting rambut, dandanan dan kecantikan akan dibuka 10 Jun dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya lagi, sektor perniagaan gunting rambut yang melibatkan 74,500 pekerja menjadi antara penyumbang ekonomi terbesar negara.

"Sektor ini menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak RM13.5 bilion setahun, jadi sumbangannya amat besar kepada pendapatan negara," katanya.

Selain itu katanya, pengusaha perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala dikongsi.

Ismail Sabri berkata SOP juga memerlukan pekerja memakai pelitup muka, apron pakai buang selain sarung tangan berbeza bagi setiap pelanggan.

Katanya, pengusaha juga perlu memastikan jarak antara setiap kerusi sejauh sekurang-kurangnya dua meter bagi setiap pelanggan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619