AGENDA

Cubaan tiga penjenayah larikan diri sejauh 40km gagal

28 Mei 2020, 12:34 AM
Cubaan tiga penjenayah larikan diri sejauh 40km gagal

IPOH, 28 MEI: Polis menahan tiga lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna, Toyota Avanza yang cuba melarikan diri dengan kenderaan itu sejauh 40 kilometer dari sini, semalam setelah diarahkan oleh polis supaya berhenti di Simpang Pulai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata semua suspek berumur antara 21 hingga 26 tahun berjaya ditahan di Jalan Chenderiang Lama, Tapah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas setelah tayar Toyota Avanza itu ditembak polis.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, polis trafik telah mengarahkan pemandu yang berumur 26 tahun untuk berhenti di bahu jalan kerana menggunakan telefon bimbit di Jalan Sultan Nazrin Shah, Simpang Pulai di sini.

"Pemandu bagaimanapun bertindak memecut kenderaan ke arah Gopeng dan siasatan awal mendapati seorang rakan yang duduk di bahagian belakang telah mengacukan pisau di perutnya supaya tidak memberhentikan kenderaan kerana mempunyai kesalahan berkaitan dadah," katanya pada sidang media di sini.

A Asmadi berkata pemandu telah merempuh sekatan jalan raya di hadapan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng selain mengelak satu lagi halangan polis di Kampar.

Bagaimanapun, A Asmadi berkata polis menerusi Op Tutup di hadapan Balai Polis Chenderiang telah menghalang laluan dengan menggunakan sebuah lori dan kereta, namun suspek tetap merempuh halangan itu sehingga memaksa polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kanan Toyota Avanza.

"Ini menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar tiang parkir sebuah rumah. Ketiga-tiga suspek yang beralamat di Kampar dan Tapah masih cuba melarikan diri namun gagal dan berjaya ditahan kira-kira 40 minit selepas kejadian," katanya.

Menurut A Asmadi pemeriksaan mendapati Toyota Avanza itu disewa dan pemandu kenderaan tidak memiliki lesen memandu malah mereka disyaki telah mencampakkan sejumlah dadah daripada kenderaan semasa melarikan diri daripada polis.

"Polis masih menjalankan siasatan di lokasi dan sedang mengesan dadah yang dibuang oleh suspek dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9)," katanya sambil menambah semua suspek positif dadah jenis methampetamine dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

A Asmadi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 26 Akta Polis 1967 kerana tidak mematuhi arahan pihak berkuasa, serta Seksyen 42 dan 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619