AGENDA

Operasi pandu lalu Pasar Agro Selangor lancar, sedia diperluas

23 Mei 2020, 3:47 AM
Operasi pandu lalu Pasar Agro Selangor lancar, sedia diperluas

SHAH ALAM, 23 MEI: Operasi Pasar Agro Selangor sedia diperluas pada musim perayaan akan datang bagi memastikan jualan secara pandu lalu berjalan lebih lancar, kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Dato' Menteri Besar berkata kualiti produk juga perlu dikekalkan jika usaha membuka lebih banyak gerai jualan pandu lalu dilakukan bagi mengurangkan kesesakan di pasar awam.

Menurutnya, walaupun menerima rungutan daripada beberapa pembeli kerana terpaksa beratur panjang tetapi sekurang-kurangnya mereka menunggu di dalam kereta berbanding berdiri lebih lama di pasar awam.

"Saya lihat di beberapa tapak pasar agak padat tetapi (Pasar Agro Selangor) telah melonggarkan sedikit tekanan di sana (pasar awam) sekaligus mengurangkan kesan-kesan Covid-19.

"Kita dapati di pasar terdapat beberapa kes yang merebak. Bukan ingin menakutkan orang ke pasar tetapi saya kira kita perlu lebih berhati-hati," katanya ketika sidang media di tapak pasar tani Seksyen 13 Shah Alam hari ini.

Beliau berkata tawaran harga jualan di Pasar Agro Selangor lebih rendah dan berpatutan tanpa melibatkan sentuhan fizikal demi menghalang penularan Covid-19.

Katanya kesesakan yang berlaku dua hari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah perkara biasa kerana semua orang mahu membuat persiapan membeli barang keperluan.

Amirudin sebelum itu meninjau operasi jualan secara pandu lalu yang mula dibuka selama dua hari bermula semalam serta mendekati pembeli dan penjual.

Selain di Shah Alam, pasar sama turut beroperasi di beberapa lokasi lain antaranya tapak pasar tani Kelana Jaya; Saujana Utama, Sungai Buloh dan Beranang, Hulu Langat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619