AGENDA

Pengguna lebuh raya meningkat sewaktu PKPB - Plus

23 Mei 2020, 12:55 AM
Pengguna lebuh raya meningkat sewaktu PKPB - Plus

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Pengguna lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (Plus) kembali meningkat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lepas berbanding ketika pelaksanaan PKP namun ia jauh lebih rendah daripada jumlah sebelum penguatkuasaan PKP.

Ketua Kecemerlangan Operasi Plus Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata sebelum penguatkuasaan PKP pada 18 Mac lepas, kira-kira 1.7 juta pengguna direkodkan setiap hari dan apabila PKP dikuatkuasakan, jumlah pengguna lebuh raya hanya 500,000 hingga 600,000 sahaja sehari.

"Tapi bila PKPB diperkenalkan dengan beberapa industri dibenarkan untuk beroperasi, maka pengguna lebuh raya di Lebuhraya PLUS mencatatkan peningkatan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata semalam hampir sejuta kenderaan menggunakan lebuh raya di bawah kendalian syarikat itu.

Katanya peningkatan pengguna lebuh raya semasa pelaksanaan PKPB berbanding semasa PKP berikutan terdapat pergerakan ekonomi yang memerlukan penghantaran barang keperluan dari satu negeri ke negeri lain termasuk pekerja sektor tertentu yang perlu merentas negeri.

Mohd Yusuf berkata kesesakan yang berlaku di beberapa tempat di lebuh raya sejak beberapa hari lepas berikutan terdapat sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan terhadap PKPB dan bukannya akibat daripada peningkatan trafik.

Bernama difahamkan, rata-rata pengguna lebuh raya ketika ini merupakan petugas sektor tertentu yang perlu merentas negeri.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619