AGENDA

Keputusan tunai haji diumum selepas raya - Dr Zulkifli

21 Mei 2020, 5:04 AM
Keputusan tunai haji diumum selepas raya - Dr Zulkifli

PUTRAJAYA, 21 MEI: Keputusan sama ada rakyat Malaysia boleh menunaikan ibadat haji pada tahun ini akan diumumkan selepas Aidilfitri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi Arab Saudi sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

"Jawapan kita bergantung kepada bagaimana kenyataan daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

"Kita juga akan berbincang secara khusus dalam melaksanakan yang itu (haji) sekiranya dibenarkan… keputusan itu akan diumumkan selepas mendapat satu jawapan yang rasmi daripada pihak Arab Saudi,” katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan sumbangan CIMB Islamic Bank kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Ahmad Shahriman Mohd Shariff menyampaikan sumbangan wang tunai RM150,000 kepada Yang Dipertua YADIM Nik Omar Nik Abd Aziz.

Nik Omar berkata sumbangan CIMB Islamic Bank adalah untuk program YADIM Peduli: Musa'adah Covid-19 dan ia bakal diagih kepada kumpulan asnaf, B40, petugas barisan hadapan dan golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19, termasuk kumpulan khas iaitu kluster tabligh dan mahasiswa.

Program Musa'adah Covid-19 bermula pada Mac lepas dan sehingga kini, sebanyak 9,732 orang telah menerima bantuan berbentuk wang tunai serta barangan keperluan asas yang membabitkan peruntukan sebanyak RM480,280.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619