AGENDA

UIAM diisytihar Pusat Kepakaran Serantau oleh UNU

9 Mei 2020, 12:52 AM
UIAM diisytihar Pusat Kepakaran Serantau oleh UNU

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diisytihar sebagai Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (RCE) oleh Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut UIAM dalam kenyataannya, sijil pengisytiharan itu diberikan UNU atas komitmen universiti itu dalam membina masa depan lestari melalui pendidikan iaitu salah satu agenda Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Pusat kepakaran serantau yang diberi nama RCE Greater Gombak itu adalah yang pertama seumpamanya yang berteraskan fungsi dalam pendidikan untuk pembangunan lestari.

Untuk rekod, kesemua pusat kepakaran serantau berteraskan geografi kecuali RCE Greater Gombak UIAM sahaja yang berlandaskan fungsi.

Di bawah RCE Greater Gombak ini, UIAM memainkan peranannya dalam menerajui aktiviti dan initiatif pendidikan lestari bersama masyarakat, industri serta sektor kerajaan, dan antara aktiviti yang telah dijalankan adalah pendidikan asnaf di Perlis, pelancongan lestari di Pagoh, Johor, kesihatan lestari di Kuantan, Pahang dan sekolah sejahtera di Terengganu.

UIAM kini menyertai 180 pusat kepakaran serantau di dunia yang memberikan fokus kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan.

Rektor UIAM, Professor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam kenyataan itu berkata peranan universiti itu lebih besar dan meluas serta sentiasa mendukung segala usaha dalam melestarikan pendidikan supaya masyarakat sekeliling tidak ketinggalan.

“Ini bermakna sekarang universiti ini mempunyai peranan global dalam menentukan pendidikan bagi membina masyarakat di sekeliling kita.

"Ini adalah satu rencana di bawah bangsa bangsa bersatu dimana sekarang ini pendidikan diberikan keutamaan dalam menentukan apakah bentuk masa hadapan yang kita akan ungkapkan bersama bukan sahaja bagi universiti tapi bagi masyarakat sekitarnya,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619