AGENDA

Penilaian baharu UPSR dan PT3 perlu menyeluruh, adil kepada semua

16 Apr 2020, 5:26 AM
Penilaian baharu UPSR dan PT3 perlu menyeluruh, adil kepada semua

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan kaedah penilaian menyeluruh untuk menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dibatalkan tahun ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang berkata penilaian tidak harus berlandaskan akademik semata-mata tetapi turut meliputi aspek sahsiah dan kokurikulum.

"Sekiranya penilaian membabitkan kemasukan ke asrama penuh yang lazimnya menggunakan keputusan UPSR dan PT3, mungkin satu kaedah pemilihan khas boleh diadakan sama seperti hendak melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Cuma NUTP belum jelas mengenai kaedah baharu penilaian disebut Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin semalam, apa pun kita sokong pembatalan UPSR dan PT3 mengambil kira keadaan sekarang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan pula berharap Kementerian Pendidikan dapat menerangkan lebih awal kaedah penilaian baharu bagi membolehkan murid, ibu bapa dan guru bersedia.

"Bagi saya penilaian harus mengambil kira nilai jasmani, rohani, akhlak dan akademik selain memberi keadilan kepada penduduk luar bandar dan kurang berkemampuan terutama dalam kemasukan ke asrama penuh," katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong 2, Suzana Abd Latip berkata pengumuman Kementerian Pendidikan berhubung kaedah baharu penilaian semalam masih belum jelas dan menimbulkan pertanyaan dalam kalangan guru, murid serta ibu bapa.

"Harap diumumkan lebih awal kerana ia membabitkan masa depan murid dalam menentukan aliran ingin dipilih dalam melanjutkan pelajaran," katanya yang berpandangan UPSR seharusnya diadakan hujung tahun ini.

Bagi Guru Besar SK Jalan Empat, Ainon Mohamed Salehuddin pembatalan UPSR dapat meringankan beban guru dan membolehkan mereka memfokuskan kepada pembentukan sahsiah murid yang sebelum ini mungkin kurang diutamakan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619