AGENDA

Topeng muka: KKM tunggu garis panduan WHO

5 Apr 2020, 12:06 PM
Topeng muka: KKM tunggu garis panduan WHO

SHAH ALAM, 5 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menunggu garis panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berhubung pemakaian topeng muka di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini KKM hanya menasihatkan petugas barisan hadapan untuk memakai topeng muka, manakala pemakaian untuk orang awam hanya jika mempunyai gejala.

"Persoalan sekarang adakah semua orang perlu memakai topeng muka. Jika berada di tempat awam, mungkin anda perlu (memakai topeng), namun kita perlu lihat bukti dahulu.

"Ketika ini, kementerian tidak mengarahkan atau menghalang sesiapa untuk memakai topeng muka terutama jika berada di tempat awam," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, pakar kesihatan berpendapat tiada keperluan bagi individu sihat memakai topeng muka di tempat awam kerana alat itu hanya digunakan jika sakit.

Bagaimanapun, WHO pada Jumaat lalu memaklumkan pemakaian topeng muka di tempat awam mungkin tidak menghalang individu sihat daripada dijangkiti Covid-19.

Namun, katanya, ia boleh menghentikan individu yang positif daripada menjangkiti orang lain.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 17,012 sampel kluster tabligh yang menyertai himpunan di Sri Petaling sudah diambil, dengan 1,591 daripadanya positif wabak.

Katanya, 10,912 sampel didapati negatif manakala 4,500 lagi masih menunggu keputusan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619