AGENDA

Denda RM6,000 balasan aibkan polis di Instagram

9 Mac 2020, 7:25 AM
Denda RM6,000 balasan aibkan polis di Instagram

KUANTAN, 9 MAC: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang suri rumah menjelaskan denda RM6,000 selepas mengaku salah mengaibkan pegawai polis di laman sosial Instagram (IG), kira-kira dua bulan lepas.

Majistret Nor Izzati Zakaria memerintahkan Aini Syanina Ismail, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS) menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Aini Syanina dari Felda Lepar Hilir 3, Gambang di sini didakwa melakukan kesalahan itu kepada Inspektor Faizal Basri yang menjalankan tugasnya di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 4.30 pagi, 12 Januari lepas.

OKS didakwa telah menyebut perkataan “bodoh polis bodoh” semasa merakam video menerusi IG stories menggunakan akaun bernama Nanabeauty miliknya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ker Qi En mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu hanya dikenakan denda ringan kerana dirinya bergantung kepada pendapatan suami sebagai pekerja ladang dengan gaji bulanan RM800 selain mempunyai dua anak yang masih kecil.

OKS yang difahamkan melakukan perbuatan itu selepas kereta suaminya disita kerana melanggar undang-undang, menjelaskan denda itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619