AGENDA

Baki 132 Ahli Parlimen menghadap Agong hari ini

25 Feb 2020, 11:53 PM
Baki 132 Ahli Parlimen menghadap Agong hari ini

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Sesi kedua Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berlangsung hari ini, sekali gus menjadi antara tumpuan utama hal berkaitan perkembangan terkini situasi politik semasa di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian baki 132 daripada 222 ahli Dewan Rakyat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kemelut politik yang melanda negara sejak Isnini alu.

Sesi menghadap dan temu bual bersama wakil rakyat secara individu di Istana Negara itu akan bermula jam 10 pagi ini dengan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 90 Ahli Parlimen bagi mendengar sendiri pandangan dan menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu.

Ia susulan keputusan mengejutkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin, yang meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri ketujuh dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu selepas menerima surat peletakan jawatan itu.

Seri Paduka turut membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Dr Mahathir, sekali gus menyaksikan tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) terhenti pada tarikh yang sama.

Sementara itu, di Putrajaya, Dr Mahathir dijadual menemui Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pejabat Perdana Menteri

Pakatan Harapan (Pakatan) juga dijangka mengeluarkan kenyataan hasil mesyuarat Majlis Presiden Pakatan yang berlangsung malam tadi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619