AGENDA

KPDNHEP serbu syarikat naik harga 100 peratus pembasmi kuman

13 Feb 2020, 11:36 PM
KPDNHEP serbu syarikat naik harga 100 peratus pembasmi kuman

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Sebuah syarikat pengeluar cecair pembasmi kuman di Kajang, kira-kira 23 kilometer dari sini, diserbu selepas dipercayai menaikkan harga lebih 100 peratus dalam tempoh kurang dua minggu.

Timbalan Pengarah Pencegahan Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azman Adam berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung peningkatan harga cecair pembasmi kuman dikeluarkan syarikat berkenaan yang dijual secara dalam talian.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian dilakukan awal bulan lepas di laman sesawang syarikat berkenaan mendapati harga bagi satu pek cecair pembasmi kuman seberat lima liter dijual pada harga RM118 berbanding harga sebelumnya RM112.

“Bagi tempoh dua minggu kemudian, harga produk berkenaan terus meningkat hingga mencecah peningkatan 100 peratus iaitu RM228 yang direkodkan semalam di laman sesawang syarikat terbabit,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Azman berkata pihaknya turut merampas 37 pek cecair pembasmi kuman seberat lima liter setiap satu dianggarkan bernilai RM8,436 dalam serbuan itu.

“Kami memandang serius mengenai peningkatan harga cecair pembasmi kuman kerana permintaan semakin meningkat dalam kalangan pengguna berikutan penularan koronavirus 2019 (Covid-19),” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Harga dan Antipencatutan 2011.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619