AGENDA

Henti sebar berita tidak sahih atau berdepan tindakan undang-undang

5 Feb 2020, 9:55 AM
Henti sebar berita tidak sahih atau berdepan tindakan undang-undang

MELAKA, 5 FEB: Polis memberi amaran agar semua pihak menghentikan segera penyebaran dan perkongsian berita tidak sahih mengenai penularan kluster koronavirus di negara ini, atau berhadapan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika memberi peringatan itu, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mengenai koronavirus 2019 boleh mengundang rasa panik dan takut dalam kalangan rakyat.

"Tindakan itu adalah tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada rakyat kerana ia sekali gus mampu mengundang situasi yang lebih serius pada keharmonian.

“Polis memandang serius perbuatan pihak yang menyebarkan berita tidak sahih serta tindakan tegas dan segera akan diambil bagi membendung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Melaka Siri 1/2020 di sini, hari ini.

Seramai 425 pesara polis dan pegawai serta anggota yang sedang berkhidmat menerima PJPN yang disampaikan Abdul Hamid. Turut hadir Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim.

Abdul Hamid berkata mereka yang ditahan kerana menyebarkan berita tidak sahih mengenai 2019-nCoV akan didakwa seberapa segera yang boleh.

Polis sehingga kini membuka 13 kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai penularan kluster 2019-nCoV menerusi laman media sosial dan tiga daripadanya telah mendapat kelulusan untuk dituduh di mahkamah.

Pertuduhan terhadap satu kes dibuat di mahkamah Kuala Lumpur pagi ini melibatkan seorang wanita yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tiga tuduhan membuat kenyataan berhubung isu jangkitan 2019-nCoV di laman profil Facebook miliknya yang akan menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM12,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619