AGENDA

Remaja bunuh penghuni tahfiz Datuk Keramat diarah bela diri

28 Jan 2020, 8:53 AM
Remaja bunuh penghuni tahfiz Datuk Keramat diarah bela diri

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun membela diri atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, hampir tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap remaja itu.

Sementara itu, Hakim Azman melepas dan membebaskan rakan remaja itu yang juga berumur 19 tahun atas pertuduhan sama tanpa memanggilnya membela diri.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Mereka yang kini berumur 19 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619