AGENDA

Rakaman suara: Ramai lagi individu akan dipanggil

28 Jan 2020, 8:09 AM
Rakaman suara: Ramai lagi individu akan dipanggil

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan berhubung kes pendedahan sembilan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Kami telah memanggil Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semalam untuk memberi keterangan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran video korporat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, di sini.

Mengenai keaslian pemilik suara rakaman audio berkenaan beliau berkata pihaknya memerlukan masa untuk menyiasat dan mengenal pasti kesemua rakaman suara berkenaan.

Pada 8 Januari lepas SPRM mendedahkan satu rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa beliau menjadi Perdana Menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Pada 16 Jan lepas, sepasukan polis berada di ibu pejabat SPRM dipercayai bagi mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya bagi membantu siasatan berhubung rakaman perbualan yang didedahkan suruhanjaya itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619