AGENDA

Kejayaan TNB kerana berani melawan arus - Dr Mahathir

16 Jan 2020, 5:22 AM
Kejayaan TNB kerana berani melawan arus - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Kejayaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraih pelbagai pengiktirafan adalah kerana berani melakukan perubahan walaupun dianggap melawan arus.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kejayaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu meletakkan TNB sebagai satu daripada “success story” dasar dan program penswastaan yang diperkenalkan sebelum ini.

"Bank Dunia dalam laporannya - Doing Business 2020 - menyatakan bahawa Malaysia kekal dua tahun berturut-turut di tangga ke-4 bagi urusan mendapatkan elektrik. Laporan Bank Dunia itu menilai 190 negara/ekonomi dan pencapaian kita adalah satu lonjakan besar berbanding pertama kali dinilai dari segi mendapatkan bekalan elektrik pada 2011, yang mana kita berada di tangga ke-60.

"... dan kejayaan ini telah secara langsung mempercepatkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan yang lebih besar dan membawa kepada perkembangan sektor korporat," katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur di ibu pejabat TNB di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dr Mahathir berkata melalui Dasar Penswastaan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1983, TNB yang ketika itu dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) adalah antara agensi kerajaan yang telah disenaraikan untuk melalui proses penswastaan.

"Antara objektif utama penswastaan adalah mengurang beban kewangan kerajaan. Pada masa yang sama ia diyakini akan membawa banyak faedah kepada organisasi itu sendiri, termasuklah kakitangannya.

"Hasil penswastaan LLN, lebih 20,000 kakitangan ketika itu menjadi pemegang saham, menikmati gaji dan struktur gaji yang lebih baik serta pelbagai faedah termasuk bonus dan sebagainya," katanya.

Beliau menambah penswastaan TNB telah membawa banyak manfaat kepada rakyat negara ini termasuk perkhidmatannya bertambah baik dan produktiviti meningkat hasil sistem imbuhan berdasarkan prestasi.

Selain itu, katanya, lebih 60 peratus saham TNB dipegang oleh pelbagai Syarikat-Syarikat Pelabur Berkaitan Kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

"Ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada puluhan juta pemegang akaun badan-badan berkenaan.

Bayaran dividen bukan sahaja dinikmati oleh para pelabur, tetapi juga rakyat biasa yang mendapat faedah melalui caruman dan simpanan masing-masing.

"Kita merenung kembali perubahan dan pencapaian TNB sejak penswastaan supaya kita sedar bahawa kejayaan pada hari ini adalah hasil usaha dan perancangan lampau," katanya dan menambah kata TNB sudah tiga kali merangkul anugerah jenama terbaik kebangsaan bagi kategori tenaga pada World Branding Awards dengan terbaru bagi tahun 2019.

Beliau kemudian mengucapkan tahniah kepada TNB dan warganya serta merakamkan penghargaan atas usaha syarikat itu yang terus berkongsi kemakmuran dengan rakyat dan negara.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619