AGENDA

Komplot cemar reputasi, SPRM buat laporan polis

14 Jan 2020, 6:23 AM
Komplot cemar reputasi, SPRM buat laporan polis

PUTRAJAYA, 14 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa individu termasuk peguam yang didakwa menjadi dalang dalam komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi dan imej suruhanjaya itu dan Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya.

Laporan polis itu dibuat oleh Pegawai Khas Undang-undang kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Sasha Lyna Abdul Latif, di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini.

Sasha Lyna yang ditemui media selepas itu berkata komplot jenayah itu dilakukan dengan menyebarkan pelbagai tohmahan melalui media sosial dengan niat mencemar integriti serta maruah SPRM dan Latheefa.

"Saya telah menyerahkan maklumat dan bukti yang kami terima kepada pihak polis dan juga menyerahkan identiti (mereka) yang menjadi dalang kepada komplot ini," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu terbabit memandangkan kes itu sedang dalam siasatan polis.

Menurut Sasha Lyna, komplot itu muncul selepas SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd dalam satu sidang media pada 8 Januari lepas.

"Kami percaya ini juga adalah satu intimidasi kepada Ketua Pesuruhjaya (Latheefa) atas apa yang dilakukan pada sidang media itu," katanya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Semalam, Latheefa dalam kenyataannya berkata laporan polis itu dibuat bagi menghantar satu mesej yang jelas kepada dalang-dalang di sebalik komplot itu bahawa beliau tidak tergugat atau terancam dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Latheefa berkata beliau akan meneruskan tugasnya untuk membersihkan negara ini daripada gejala rasuah walaupun berdepan dengan cabaran seperti serangan peribadi dan ugutan terhadapnya.

Pada 8 Januari lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1MDB dan SRC International.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619