AGENDA

Penghantaran balik kontena sisa plastik memberangsangkan

13 Jan 2020, 1:17 PM
Penghantaran balik kontena sisa plastik memberangsangkan

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Penghantaran semula kontena mengandungi sisa plastik yang dicemari bahan buangan terjadual ke negara pengeksport mencatatkan jumlah amat memberangsangkan, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Yeo Bee Yin.

Bagaimanapun, beliau berkata statistik dan maklumat penuh mengenai perkara itu hanya akan diumumkan beliau pada sidang media di Pulau Pinang, 20 Januari ini.

"Apa yang kita buat ialah dalam sejarah dunia ini adalah kali pertama secara besar-besaran satu negara memulangkan balik kontena sisa plastik ini kepada negara asal.

"Walaupun kita telah mengambil masa yang panjang tapi kita telah mencapai apa yang tidak dicapai negara lain," katanya selepas melawat Wisma Bernama sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Isu pengimportan bahan sisa plastik tercemar menjadi bualan hangat tahun lepas sehingga Yeo mengisytihar ´perang plastik´ bagi memerangi lambakan sampah yang tidak boleh dikitar dibawa masuk ke negara ini.

Kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar sebagai ‘Competent Authority to Basel Convention’ telah mengambil tindakan tegas mengarahkan penghantaran semula ratusan kontena yang mengandungi sisa plastik disyaki dicemari dengan buangan terjadual ke negara asal.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia sebelum ini menegaskan tidak akan membayar walau satu sen pun kos menghantar kontena berisi sisa plastik kembali ke negara asalnya.

Sebanyak 187 negara termasuk Malaysia menerima pakai pindaan Konvensyen Basel - perjanjian yang dimeterai pada 1989 bagi mengurangkan pergerakan sisa plastik dan berbahaya merentasi sempadan negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619