AGENDA

Pegawai kesihatan pantau sekolah ada influenza A

12 Jan 2020, 6:54 AM
Pegawai kesihatan pantau sekolah ada influenza A

KUALA SELANGOR, 12 JAN: Pegawai kesihatan daerah kini memantau keadaan di sekolah yang dikesan wujud jangkitan wabak influenza A sebagai usaha mengekang penularan wabak tersebut dalam kalangan pelajar, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kementerian turut mengingatkan pihak sekolah berkenaan supaya sentiasa membuat pemantauan berhubung jangkitan wabak itu sebagai langkah memastikan kesihatan pelajar sekolah berkenaan terjamin.

"Kita turut mengingatkan supaya pihak berkenaan di fasiliti (sekolah) mengambil langkah sepatutnya supaya penularan wabak tersebut dapat dibendung," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada 170 warga emas dalam kalangan masyarakat Cina bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di Tokong Tian Hock di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata jangkitan influenza yang dikesan berlaku di beberapa sekolah termasuk di Selangor masih terkawal dan tiada arahan penutupan sekolah dibuat setakat ini akibat wabak itu.

"Masyarakat juga tidak perlu khuatir kerana bekalan ubat-ubatan untuk merawat influenza termasuk di klinik swasta mencukupi," katanya.

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619