AGENDA

Dr Maszlee umum letak jawatan Menteri Pendidikan

2 Jan 2020, 8:44 AM
Dr Maszlee umum letak jawatan Menteri Pendidikan

SHAH ALAM, 2 JAN: Dr Maszlee Malik secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa esok.

Pengumuman itu meleraikan spekulasi yang tersebar sejak tengah hari susulan sebaran jemputan sidang media yang berlangsung sebentar tadi.

"Selepas pertemuan dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sebentar tadi, di atas nasihat beliau bagi saya sebagai seorang ayahanda, seorang pemimpin dan seorang negarawan ulung.

"Di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada pepimpinan parti dan kerajaan, maka saya dengan hati yang reda walaupun berat, dengan nasihat ayahanda Perdana Menteri, saya Maszlee Malik dengan ini memulangkan semula jawatan saya sebagai Menteri Pendidikan Malaysia kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari 2020," katanya.

Dr Maszlee berkata sepanjang 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), beliau yakin sudah meletakkan asas dan hala tuju jelas dengan slogan 'Pendidikan Untuk Semua' walaupun dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama isu Jawi, internet sekolah dan sarapan percuma.

Katanya sejak 2018, KPM bersikap telus dengan inisiatif dan progres dalam usaha mereformasi pendidikan.

"KPM menjadi kementerian pertama yang membentangkan laporan 100 hari Pakatan Harapan, kemudian kad laporan prestasi setahun (Jun 2018 - Jun 2019) dan kad laporan untuk 2019. Trend ini diikuti oleh kementerian lain.

"Tahun 2019 membuktikan beberapa inisiatif yang kita perkenalkan akhirnya membuahkan hasil. Hampir 90 peratus projek sekolah daif yang kita usahakan, siap lebih awal," katanya.

Dr Maszlee yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada 21 Mei 2018 merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi BERSATU.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619