AGENDA

PLUS laksana RFID di 10 plaza tol sistem terbuka

30 Dis 2019, 6:20 AM
PLUS laksana RFID di 10 plaza tol sistem terbuka

KUALA LUMPUR, 30 DIS: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melaksanakan kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di 10 plaza tol sistem terbuka di lebuh raya kendaliannya bagi kenderaan kelas satu, sebagai antara pilihan mod pembayaran mulai 1 Januari.

Plaza tol sistem terbuka (tanpa mengira jarak perjalanan) terlibat ialah di Lebuhraya Utara-Selatan (Jitra dan Kempas), Lebuhraya Butterworth-Kulim (Lunas dan Kubang Semang), Lebuhraya Seremban- Port Dickson (Mambau dan Lukut), Lebuhraya Laluan Kedua (Linkedua) (Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang) serta Jambatan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Operasinya Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanaan sistem itu dijangka dapat melancarkan lagi pergerakan trafik di lorong tol kerana pengguna lebuh raya tidak perlu lagi berhenti untuk menyentuh kad dan tambah nilai eWallet menjadi lebih mudah kerana dilakukan secara dalam talian.

"Selain itu ia dapat mengurangkan isu kad elektronik tidak cukup baki, mengurangkan kejadian peranti SmarTAG hilang atau tidak mempunyai bateri atau diletakkan secara terbalik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya mod pembayaran tol sedia ada iaitu melalui kad Touch 'n Go atau SmartTAG masih lagi relevan dan diterima seperti biasa di lebuhraya PLUS, sementara di di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor), sistem itu hanya boleh digunakan untuk Caj Jalan (tag RFID Vehicle Entry Permit) bagi kenderaan Singapura sahaja.

Pada masa sama beliau turut menasihatkan pengguna yang sudah mempunyai pelekat RFID Touch 'n Go untuk memastikan baki eWallet mencukupi bagi menikmati perjalanan lancar dan selesa.

RFID Touch 'n Go merupakan pilihan mod pembayaran terkini yang menggunakan pelekat khas bercip RFID yang ditampal pada kenderaan yang dihubungkan dengan Touch 'n Go eWallet bagi memudahkan pengguna untuk menambah nilai tol secara dalam talian tanpa perlu ke pusat tambah nilai.

Katanya lebih banyak pilihan pembayaran juga sedang dibangunkan sama ada menerusi kad debit atau kredit, serta lain-lain eWallet.

Syarikat itu dijangka akan memperluaskan sistem berkenaan di 83 plaza tol sistem tertutup (sistem berdasarkan kelas kenderaan dan jarak perjalanan) di lebuh raya kendaliannya pada 1 April 2020.

Orang ramai boleh mendapatkan pelekat RFID Touch 'n Go di 130 pusat pemasangan sedia ada atau menerusi pautan https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres dan https://www.tngdigital.com.my/rfid

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619