AGENDA

Bayi dijangkiti polio: Golongan tolak vaksin kena insaf

22 Dis 2019, 2:50 AM
Bayi dijangkiti polio: Golongan tolak vaksin kena insaf

MELAKA, 22 DIS: Golongan menolak vaksin terutama ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin imunisasi, seharusnya insaf dengan kes polio baru-baru ini yang hanya boleh dicegah dengan vaksin sebagai pelindung kepada nyawa terutama kanak-kanak.

Perunding pakar pediatrik dan ahli imunologi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, ini kerana polio merupakan penyakit amat berbahaya apabila satu daripada 200 mereka yang dijangkiti akan lumpuh seluruh badan, manakala lima hingga 10 peratus dijangkiti meninggal dunia.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, polio merupakan penyakit yang amat mudah berjangkit serta merebak kesan daripada najis, lendir, makanan, sistem sanitasi dan persekitaran tidak bersih.

"Tiada penawar untuk menyembuhkan penyakit polio ini ditemui hingga ke hari ini tetapi polio boleh dicegah dengan vaksin yang telah lama terbukti selamat dan berkesan.

"Polio ini suatu penyakit yang amat serius, maka pastikan anda dapat imunisasi yang lengkap dan bagi mereka menolak vaksin saya harap ini jadi suatu keinsafan buat mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 6 Disember lepas, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebuah hospital selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), merupakan kes polio pertama setelah Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lepas.

Menurut Jadual Imunisasi Kebangsaan Malaysia, bayi perlu menerima vaksin polio tidak aktif (IPV) pada usia dua bulan, tiga bulan dan lima bulan. Bayi itu juga perlu diberi dos tambahan apabila mencapai usia 18 bulan.

Dr Musa berkata, tahap imunisasi bagi sesebuah komuniti mencegah penyakit dengan berkesan adalah 95 peratus dan menurutnya Kementerian Kesihatan serta semua pihak terlibat telah melaksana langkah imunisasi membanggakan apabila negara ini melebihi 96 peratus tahap imunisasi nasional.

Bagaimanapun, beliau berkata, apa yang membimbangkan adalah kegagalan sesetengah komuniti setempat di negara ini terutama di kawasan pendalaman memperoleh vaksin antaranya akibat kurang pengetahuan seterusnya gagal mencapai tahap imunisasi berkesan 95 peratus itu.

"Syabas Kementerian Kesihatan kerana telah melaksana pemantauan dan mengambil respons awal apabila dua setengah bulan lepas berlaku penularan polio di Filipina. Saya percaya kementerian akan mengambil langkah meningkatkan liputan imunisasi dalam kalangan komuniti tahap imunisasi rendah ini," katanya.

Media sebelum ini turut melaporkan siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak dijangkiti polio itu mendapati 23 daripada 199 orang berumur antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio, menunjukkan hanya 88.4 peratus menerima vaksin polio dalam kumpulan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619