AGENDA

SPRM sedia tempatkan pegawai di pejabat MB, Ketua Menteri

7 Dis 2019, 4:32 AM
SPRM sedia tempatkan pegawai di pejabat MB, Ketua Menteri

PUTRAJAYA, 7 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menempatkan pegawai di semua pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi membantu memperkasakan integriti serta memastikan perkara berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dapat dibendung di peringkat kerajaan negeri, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Beliau berkata usaha untuk menempatkan pegawai SPRM di semua pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya, namum ia masih bergantung kepada permohonan dari pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri.

"Sebelum ini ada beberapa negeri memohon secara rasmi termasuk Johor dan Perak, cuma dari segi proses itu perlu melibatkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Walkabout Perdana sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2019 di pasar awam Presint 8, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Datuk Seri Zakaria Jaafar.

Shamsun berkata ketika ini kerajaan bersetuju untuk memberi tambahan 100 orang setiap tahun, dan beliau berharap jumlah anggota SPRM dapat mencapai angka 5,000 pegawai, supaya segala fungsi di bawah akta suruhanjaya itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Mengenai HARA 2019, Shamshun berkata majlis yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini bertujuan melibatkan semua pihak dalam usaha mencegah kegiatan rasuah serta mewujudkan satu budaya di kalangan masyarakat untuk menyatakan tidak dalam apa jua keadaan berhubung pemberian dan penerimaan rasuah.

Beliau berkata tahun ini golongan peniaga kecil dan penjaja menjadi fokus, supaya mereka bersedia dengan pelaksanaan undang-undang liabiliti korporat yang akan mula berkuatkuasa Jun 2020.

Shamshun berkata SPRM akan menggunakan segala platform untuk menyebarkan mesej pencegahan rasuah supaya harapan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah, dapat dicapai.

"Di SPRM, fokus kita masih pada penjawat awam kerana bilangan yang ditangkap pada tahun-tahun lepas majoritinya adalah di kalangan penjawat awam. Di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, antara langkah diambil kerajaan adalah memperkasakan dan mempertingkatkan integriti di kalangan penjawat awam," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619