AGENDA

Dewan Rakyat luluskan pindaan Akta KWSP

4 Dis 2019, 12:50 PM
Dewan Rakyat luluskan pindaan Akta KWSP

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2019 yang membenarkan pemindahan sebahagian caruman KWSP suami secara sukarela kepada akaun KWSP isteri atau isteri-isterinya.

Pindaan itu antara lain memperuntukkan kadar caruman yang akan dipindahkan ialah sebanyak dua peratus daripada caruman ahli KWSP yang memilih untuk memindahkan carumannya kepada isteri atau isteri-isterinya.

Ini adalah langkah kerajaan untuk melaksanakan fasa ketiga Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 8 Ogos tahun lepas.

Insentif i-Suri diumum pada perbentangan Belanjawan 2020 sejajar dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan iaitu caruman KWSP untuk suri rumah.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, berkata pemindahan caruman dua peratus daripada 11 peratus KWSP suami kepada akaun isteri adalah secara sukarela.

Amiruddin menjelaskan pemindahan wang caruman ini hanya akan dihentikan apabila berlaku kematian atau penceraian dengan syarat ia dimaklumkan kepada pihak KWSP.

Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2019 antara lain juga bertujuan mengemas kini peruntukan bagi menghalang majikan yang tidak membayar caruman daripada meninggalkan negara tanpa perintah mahkamah serta membenarkan ahli yang telah mencapai 55 tahun untuk membuat pengeluaran hilang upaya atau pengeluaran meninggalkan negara.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619