AGENDA

Dana Tabung Harapan RM205 juta lunas hutang 1MDB

30 Nov 2019, 3:28 AM
Dana Tabung Harapan RM205 juta lunas hutang 1MDB

PUTRAJAYA, 30 NOV: Dana Tabung Harapan Malaysia (THM) sebanyak RM205 juta digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), demikian menurut Kementerian Kewangan.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, kerajaan pada 28 November menggunakan keseluruhan dana THM dengan pembayaran sebanyak RM61.68 juta bagi pelunasan bayaran faedah sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note).

"Pembayaran sebanyak RM61.68 juta yang dibiayai oleh dana THM adalah hanya sebahagian daripada jumlah pembayaran faedah IMTN yang berjumlah RM143.75 juta. Baki sebanyak RM82.07 juta telah dibiayai melalui dana pemulihan aset 1MDB yang berjumlah kira-kira RM1.45 bilion setakat ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan komited membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, dengan bayaran seterusnya yang perlu dibuat oleh 1MDB adalah bayaran faedah bon terbitan 1MDB Global Investments Limited (GIL) sebanyak US$66 juta yang akan dibayar pada 9 Mac 2020.

"Secara keseluruhannya, sebanyak RM13.9 bilion terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai hutang-hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak 2017 hingga 2020.

Guan Eng berkata, hutang 1MDB pada masa ini adalah berjumlah RM50.5 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada 2039.

"Dengan pembayaran terakhir sebanyak RM61.68 juta maka dana THM sebanyak RM205 juta telah digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1MDB," katanya.

Kementerian Kewangan pada 7 Februari lalu telah memaklumkan bahawa baki akhir THM sehingga 14 Januari lepas iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan adalah berjumlah RM202.71 juta dan selanjutnya faedah pelaburan sebanyak RM2.77 juta telah diterima dan ini menjadikan jumlah besar dalam akaun amanah THM adalah sebanyak RM205.49 juta.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619