AGAMA

Penjara swasta: Pasukan khas perlu buat kajian

28 Nov 2019, 12:56 AM
Penjara swasta:  Pasukan khas perlu buat kajian

PUTRAJAYA, 28 NOV: Satu pasukan khas perlu ditubuhkan bagi melakukan kajian terperinci sekiranya ada keperluan untuk mewujudkan penjara swasta di negara ini, kata Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata, sewajarnya pasukan itu dianggotai oleh pihak luar termasuk beberapa pegawai daripada jabatan itu sendiri.

"Kita nak kata boleh buat (penjara swasta) pun tidak dan nak kata tidak boleh pun tidak, sebab banyak pandangan yang perlu kita dapatkan mengenai perkara ini seperti pandangan masyarakat sama ada mereka bersetuju atau sebaliknya dan pakar akademik serta golongan profesional," katanya.

Ditemui media selepas merasmikan Malam Interaksi Prospek 2019 Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara di sini, malam tadi, Zulkifli berkata, setakat ini, belum ada perbincangan mengenai penubuhan pasukan itu memandangkan cadangan mewujudkan penjara swasta tidak dimuktamadkan mana-mana pihak.

Pada Jumaat lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menyarankan Jabatan Penjara membuat kajian mengenai ‘private prison’ atau penjara swasta jika pelaksanaannya wajar diberi pertimbangan.

Beliau berkata, jabatan berkenaan boleh membuat kertas cadangan berhubung perkara itu jika dirasakan ia dapat dilaksanakan, dan kemudian mengemukakannya kepada kementerian untuk pertimbangan dalam usaha mengatasi kesesakan di penjara.

Pada masa ini, kira-kira 74,000 banduan sedang menjalani hukuman di penjara seluruh negara walaupun kapasiti sebenar hanya boleh memuatkan kira-kira 52,000 penghuni.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619