AGENDA

Selangor meterai MoU dengan AS, UK dan Turki

20 Nov 2019, 2:13 PM
Selangor meterai MoU dengan AS, UK dan Turki

SHAH ALAM, 20 NOV: Selangor menerusi tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) miliknya memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama United Kingdom, Amerika Syarikat dan juga Turki ketika Kongres Bandar Pintar Sedunia (Smart City Expo World Congress) di Barcelona, hari ini.

Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perjanjian itu melibatkan Smart Selangor Development Unit (SSDU), Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) dan Smartsel Sdn Bhd.

"Kerjasama ini membuktikan potensi Selangor untuk menjadi Negeri Pintar Unggul menjelang 2025," katanya menerusi kenyataan.

Turut menyaksikan pemeteraian itu ialah Exco Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Kim dan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor Raja Shahreen Raja Othman, Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir dan Pengarah Urusan Smart Sel Sdn Bhd, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir.

Amirudin sebelum itu turut menyempurnakan pelancaran Pelan Halatuju Kuasa Serantau Selangor di Pavillion Smart Selangor pada kongres yang berlangsung dari 19 hingga 21 November ini.

Katanya, Kongres Bandar Pintar Sedunia adalah pengiktirafan besar buat Selangor apabila menjadi satu-satunya negeri di Malaysia dipanggil untuk menghadiri persidangan berkenaan.

"Jemputan ini satu pengiktirafan dan sebagai tanda penghargaan kewujudan Selangor dalam merealisasikan usaha ke arah bandar pintar.

"Malah, menerusi jemputan ini setiap negara atau negeri terlibat boleh bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman ke arah usaha merealisasikan tempat masing-masing ke arah bandar pintar,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619