AGENDA

Syarikat korporat digalak ambil bekas atlet sebagai pekerja

17 Nov 2019, 11:27 PM
Syarikat korporat digalak ambil bekas atlet sebagai pekerja

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Sektor korporat dalam negara digesa mengambil bekas atlet-atlet negara bagi meneruskan kehidupan mereka dengan karier baharu, selepas mereka bersara daripada bidang sukan masing-masing.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong yang membuat gesaan itu berkata, badan-badan korporat itu boleh mengambil mereka untuk bekerja sama ada sebagai jurulatih bidang sukan berkaitan yang sesuai, atau sebagai pekerja biasa.

Beliau berkata, kejohanan-kejohanan liga korporat adalah platform terbaik untuk penerusan karier bekas atlet-atlet kebangsaan ini selepas mereka bersara daripada bidang sukan.

Dengan merujuk kepada Kejohanan Badminton Korporat Senheng Purple League 2019 sebagai contoh, beliau berkata, kejohanan itu membantu bekas pemain-pemain badminton kebangsaan untuk terus bermain badminton secara aktif walaupun telah bersara.

“Lebih penting lagi, kita mahukan program ini menjadi tempat pertemuan antara sektor korporat dan atlet-atlet kita supaya diharapkan ada antara mereka yang dapat mengiktiraf jaguh-jaguh seperti Ong Ewe Hock (bekas pemain badminton negara), yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara,” katanya semasa berucap di majlis penutup kejohanan, dan penyampaian hadiah kepada pemenang di Arena Sukan Lee Chong Wei, di sini semalam.

Syarikat peralatan elektrik dan perabut untuk isi rumah, LionMas mengungguli kejuaraan sulung kejohanan selepas menewaskan syarikat Top Glove 9-4 dalam perlawanan akhir, dan membawa pulang hadiah berupa tunai RM50,000, trofi kejuaraan dan juga pingat, manakala Top Glove menerima hadiah tunai RM25,000 dan pingat.

Syarikat telekomunikasi red ONE (redPHOENIX) memenangi perlawanan klasifikasi ketiga/keempat dengan menewaskan syarikat insurans AIG, 10-4, dan meraih hadiah tunai RM15,000, manakala AIG membawa pulang tunai RM10,000.

Lapan syarikat korporat mengambil bahagian dalam edisi sulung kejohanan ini, yang terdiri daripada Pensonic, LionMas, red ONE (redPHOENIX), SenQ, OPPO, Top Glove, AEON Credit Service dan AIG.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619