AGENDA

Tunjuk bukti PAKATAN guna sentimen kaum ketika berkempen

14 Nov 2019, 9:47 AM
Tunjuk bukti PAKATAN guna sentimen kaum ketika berkempen

PONTIAN, 14 NOV: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub mencabar parti pembangkang yang menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) memainkan sentimen kaum ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, untuk membuktikan dakwaan itu.

Salahuddin berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu membuktikan siapa pemimpin dalam PAKATAN yang didakwa memainkan sentimen kaum dan agama dalam kempen.

"Tunjukkanlah bukti ataupun keluarkanlah di video ataupun media, siapa dia (pemimpin) yang main isu perkauman dalam PAKATAN… kalau cakap sahaja, itu sekadar mendakwa sahajalah. Tapi pihak sebenar yang memainkan isu agama yang berputar-putar adalah mereka sendiri (BN)," katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Media PRK Tanjung Piai di Stadium Mini Pontian di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan mendakwa pemimpin PAKATAN telah memainkan isu perkauman sepanjang kempen PRK di Tanjung Piai.

Sementara itu, ditanya mengenai kerjasama MCA dan PAS, dengan UMNO memainkan peranan sebagai orang tengah, yang dilihat semakin terjalin baru-baru ini, Salahuddin menyifatkan kerjasama itu hanyalah kepentingan politik semata-mata.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata PAS dilihat ‘berpusing-pusing’ dalam menyatakan sokongan terhadap calon BN.

"Dalam kenyataan terbaharu pula mereka mengatakan undi MCA kali ini adalah tidak salah, tapi ketika di (PRK Parlimen) Cameron Highlands dahulu,‘fatwa’ wajibkan mengundi untuk calon Islam,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619