AGENDA

Pengurus harta digesa teroka potensi ekonomi wakaf

11 Nov 2019, 11:29 PM
Pengurus harta digesa teroka potensi ekonomi wakaf

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Pengurus harta wakaf dan pihak berkaitan pembangunan dan pentadbiran harta berkenaan digesa supaya lebih kreatif dalam meneroka potensi ekonomi penggunaan harta wakaf.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata ketika ini terdapat banyak tanah wakaf yang dilapor tidak dibangun dengan baik.

“Menurut Yayasan Wakaf Malaysia, hanya 12 peratus daripada hampir 31,000 hektar tanah wakaf telah dibangunkan, kebanyakannya bagi tujuan keagamaan seperti masjid, kubur, dan sekolah agama.

“Amat sedikit aset wakaf ini dibangun bagi tujuan sosio ekonomi yang lebih inklusif, seperti pusat perniagaan dan hab pengangkutan, yang boleh menjana pulangan bagi menyokong pembangunan ekonomi ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di majlis penyampaian anugerah dan pengiktirafan Persidangan Wakaf Global (GWC) 2019 di sini semalam.

Dr Wan Azizah berkata ketika ini kerangka kerja penyelarasan yang lebih efektif, tahap profesional yang lebih tinggi dan urus tadbir yang baik dalam pentadbiran wakaf Malaysia diperlukan bagi meraih keyakinan ramai dan membekalkan manfaat maksimum kepada ummah.

Beliau berkata ini kerana masih ada persepsi umum bahawa pengurusan institusi dan harta wakaf di seluruh dunia ketika ini amat buruk sekali, termasuk di Malaysia.

Menurutnya isu itu menjadi bertambah parah disebabkan kekurangan kerangka kerja perundangan yang efektif berhubung pentadbirannya , di samping urus tadbir yang buruk dan kurang telus.

Oleh itu dalam konteks Malaysia, katanya kerajaan telah menunjukkan keseriusan dalam menyokong pembangunan harta wakaf, terutama dari segi pembangunan kerangka kerja perundangan yang efektif dalam mengurus hal ehwal wakaf.

“Ketika ini lima negeri menampilkan enakmen tertentu mengenai wakaf menerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing; terdiri daripada Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, dan Terengganu.

“Pada masa sama, kerajaan persekutuan sedang dalam proses mewujudkan akta wakaf bagi menyelaras pengurusan wakaf di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fauziah Salleh selepas melancarkan GWC 2019, dilaporkan berkata deraf rang undang-undang berhubung Akta Wakaf akan mewujudkan mekanisma pengurusan wakaf yang lebih baik yang boleh dijadikan model bagi kerajaan negeri, yang akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619