AGENDA

Felcra-Jabatan Penjara beri bekas banduan peluang kerja

11 Nov 2019, 7:37 AM
Felcra-Jabatan Penjara beri bekas banduan peluang kerja

MELAKA, 11 NOV: Kolaborasi antara Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) dan Jabatan Penjara Malaysia, menerusi program Latihan Pintar Korporat (CSI) telah memberi peluang kepada bekas banduan mendapatkan pekerjaan dan kembali ke pangkuan masyarakat.

Felcra Berhad menerusi kenyataan memberitahu, sehingga kini lebih 900 banduan telah menerima latihan dalam sektor perladangan di 38 ladang miliknya di seluruh negara, sejak program CSI itu dilaksanakan bermula November 2016.

Katanya, program itu melibatkan Orang Di Parol (ODP) dan Orang Di Selia (ODS) sebagai pekerja selain turut menawarkan peluang pekerjaan, kepada banduan selepas tamat tempoh latihan ditetapkan.

"Menerusi CSI ini, ia dijangka dapat menampung kekurangan sebanyak 4,000 tenaga kerja, kerana kami sememangnya amat memerlukan pekerja tempatan selain mempunyai sekitar 250,000 hektar ladang kelapa sawit dan getah seluruh Malaysia.

"Ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan pekerja asing, iaitu kira-kira 85 peratus pekerja ladang adalah mereka yang berasal daripada negara luar," menurut kenyataan itu.

Semalam, Felcra Berhad dan Jabatan Penjara Malaysia telah Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) CSI itu dalam sebuah program di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, di sini.

Felcra Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohd Nazrul Izam Mansor manakala Jabatan Penjara Malaysia diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar dan turut disaksikan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim dan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Nageeb Wahab.

Menerusi program latihan itu mereka akan mengikuti latihan bagi tempoh tiga hingga 12 bulan selain turut diberi imbuhan elaun bulanan mengikut kadar gaji minimum di Malaysia.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619