AGENDA

PM: ASEAN kumpulan serantau stabil dan berjaya

4 Nov 2019, 11:30 PM
PM: ASEAN kumpulan serantau stabil dan berjaya

BANGKOK, 5 NOV: Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) berkembang dengan pesat selama ini untuk menjadi sebuah perkumpulan serantau yang cukup stabil di dunia hari ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“ASEAN hari ini adalah sebuah perkumpulan serantau yang paling stabil dalam dunia, berbanding EU (Kesatuan Eropah), mereka sedang menghadapi masalah,” kata Perdana Menteri yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35.

Beliau berkata kejayaan pertubuhan itu dapat dilihat dengan jelas berdasarkan kepada keinginan banyak lagi negara lain untuk menyertai perkumpulan itu, di samping berjaya meluaskan lagi bidang kerjasama dalam kalangan negara anggota.

“Secara keseluruhan, kita sudah melakukan yang terbaik. ASEAN berkembang pesat dengan lebih banyak bidang kerjasama ketika ini. Ramai yang berminat untuk menyertai kita...seperti Timor Leste, mereka berminat untuk menyertai kita, saya rasa kita perlu menerima mereka, namun ada beberapa anggota masih tidak selesa,” katanya dalam satu persidangan media bersama media Malaysia di sini.

ASEAN ditubuhkan pada 1967 dengan hanya lima negara pengasas yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura serta Thailand, dan kini dengan 10 negara anggota, ia berjaya menjalin kerjasama dan perkongsian erat dengan enam negara di rantau Asia Pasifik, yakni China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand, sehingga dikenali sebagai ASEAN +6.

Dr Mahathir berkata perkumpulan serantau itu juga sedang meraih hasil daripada wawasan serta kerjasama erat mereka, termasuk diiktiraf sebagai komuniti Asia Timur, dan beliau menambah kini Perundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC) juga sudah menjadi realiti.

“Orang ramai kini merujuk ASEAN +3 (China, Jepun dan Korea Selatan) sebagai komuniti Asia Timur. Jadi kami (ASEAN) akhirnya berjaya diiktiraf sebagai komuniti Asia Timur,” katanya.

Idea penubuhan zon perdagangan bebas serantau EAEC bagi ASEAN +3 dicetuskan oleh Dr Mahathir pada 1997 sebagai reaksi kepada integrasi ke dalam Kerjasa Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Dr Mahathir, 94, kembali sebagai Perdana Menteri selepas memimpin Pakatan Harapan untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei tahun lalu, dan kali pertama beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri adalah selama 22 tahun, sebelum bersara pada Oktober 2003.

“Kali ini, saya menghadiri sidang kemuncak ini buat kali kedua sejak tahun lepas. Sidang Kemuncak ASEAN kini mempunyai ramai pemimpin baharu. Disebabkan demokrasi, rakyat boleh menukar pemimpin. Bukan seperti sebelum ini di mana pemimpin yang hadir seringkali orang yang sama,” katanya.

Beliau seterusnya menggambarkan sidang kemuncak ini berserta persidangan yang berkaitan dengan tema “Memperkukuh Kerjasama bagi Kelestarian”; sebagai suatu kejayaan, dan menambah pada dasarnya semua mesyuarat berjalan dengan lancar.

Sidang Kemuncak yang berlangsung di Pusat Pameran IMPACT Convention and Exhibition di sini berakhir hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan akan diadakan di Vietnam.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619