AGENDA

Impian skuad hoki ke Olimpik 2020 lebur

3 Nov 2019, 11:35 PM
Impian skuad hoki ke Olimpik 2020 lebur

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Impian skuad hoki negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas 20 tahun terkubur apabila tewas 5-2 kepada Great Britain pada aksi play-off kedua kelayakan terakhir di Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London, lewat malam tadi.

Justeru, Great Britain menjadi pasukan ke-11 layak ke Tokyo dengan agregat 9-3 selepas membenam Malaysian Tigers 4-1 pada perlawanan timbal balik pertama kelmarin.

Kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Olimpik adalah pada temasya Sydney 2000, yang mana pasukan kebangsaan menamatkan saingan di tempat ke-11 dalam kalangan 12 negara yang bertanding.

Malaysia yang turun dengan wajib memburu kemenangan besar, bagaimanapun dikejutkan dengan keputusan pengadil menghadiahkan pukulan penalti kepada Great Britain.

Skuad kendalian ketua jurulatih Roelant Oltmans itu meminta rujukan video bagi menyelamatkan kedudukan Malaysia, namun keputusan berpihak kepada Great Britain.

Alan Forsyth menyempurnakan pukulan penalti itu dengan satu tolakan yang cukup baik sehingga mengelirukan penjaga gol negara, S.Kumar pada minit kesembilan.

Dua minit kemudian, Sam Ward menggandakan gol sebelum pemain tengah Mohd Fitri Saari merapatkan jurang dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

Bagaimanapun, Ward sekali menambah derita skuad negara dengan menyumbat gol ketiga Great Britain menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

Malaysia seterusnya memproleh pukulan sudut penalti kedua selepas penyerang negara, Faizal Saari dikasari sehingga terjatuh pada minit ke-32 namun ia gagal diterjemahkan kepada gol.

Sebelum perlawanan suku masa ketiga berakhir, Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya merapatkan jurang kedudukan pada minit ke-40.

Malaysia Tigers, yang tertekan untuk memburu gol, pada suku terakhir perlawanan, dikejutkan dengan gol padang Forsyth pada minit ke-56 sebelum pemain itu melengkapkan jaringan hatrik peribadinya dengan penyudahan pukulan penalti pada minit berikutnya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619