AGENDA

Permaisuri Agong tekad perjuang kraftangan tradisi

29 Okt 2019, 3:34 PM
Permaisuri Agong tekad perjuang kraftangan tradisi

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini bertitah baginda bertekad mahu memperjuangkan kraftangan tradisi dan tidak menyokong tenunan, songket dan batik yang dihasilkan menggunakan mesin.

“Kita kena mempertahan hasil kerja tangan negara kita yang begitu halus, cantik dan mengambil masa yang lama. Begitu juga dengan tikar, tekat, kelingkam, pasu, rotan dan baju kurung.

“Bukan saja kraf tradisional tetapi juga pakaian tradisional, masakan tradisional, tarian dan muzik tradisional kita….kita kena jaga sebagai warisan kita….tidak kira bangsa atau agama….itu perjuangan saya!,” titah Tunku Azizah yang lebih dikenali sebagai cheminahsayang dalam laman Twitter media sosial.

Baginda turut mengimbau kembali ketika membawa kadi dari daerah Pekan ke penjara untuk melihat tenunan yang dihasilkan oleh banduan.

“Sebelum ini dia kata tenun mahal, selepas dia melihat proses rumit dari membasuh dan mewarna benang, menerai, menganing, menyusuk, menyambung, meloseng, menenun, colek, ikat dan lain-lain...kadi terus cakap lepas ini tak minta discount dah!,” titah baginda.

Tunku Azizah turut bertitah mengenai proses menenun sepasang songket atau tenun melibatkan teknik mengusik, limar, corak-corak, butang dan colek dilakukan begitu rumit dan teliti.

Baginda pada masa sama bertitah masyarakat perlu menghidupkan kembali seni jahitan tradisional selain mengajak ibu bapa untuk mengajar anak-anak mereka mengenai kemahiran seperti mengait, menganyam dan menyulam.

“Ini adalah matlamat yang saya perjuangkan dan mahu tinggalkan sebagai warisan saya. Marilah kita lakukan ini demi Malaysia, tunjukkan kepada jiran tetangga dan banggalah dengan seni warisan kita,” titah baginda.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619