AGENDA

Presiden Azerbaijan puji ucapan Dr Mahathir

26 Okt 2019, 1:48 PM
Presiden Azerbaijan puji ucapan Dr Mahathir

BAKU (Azerbaijan), 26 OKT: Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev memuji ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di sini, pada Jumaat.

“Ucaptama anda semalam adalah sangat hebat, ia adalah visi yang berpandangan ke hadapan, pendekatan terbuka terhadap isu-isu penting dan anda sentiasa mempertahankan keadilan,” kata presiden itu kepada Dr Mahathir semasa pertemuan mereka di Istana Presiden, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan hormat Dr Mahathir ke atas presiden itu, Ilham berkata, perdana menteri berusia 94 tahun itu adalah di sebalik transformasi Malaysia yang mengagumkan dan Azerbaijan berharap dapat berkongsi pengalaman Dr Mahathir.

Kedua-dua pemimpin tersebut turut membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Azerbaijan dengan bersetuju memperkukuhkan kerjasama khusus dalam sektor tenaga dan pelancongan​​.

Selepas pertemuan selama 20 minit itu, Dr Mahathir memberitahu media Malaysia, bahawa beliau berharap Azerbaijan, selaku pengerusi baharu NAM, dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan memastikan badan itu bersatu dan relevan dalam era Perang Dingin.

Beliau berkata Malaysia sentiasa mengekalkan dasar mesra terhadap setiap negara.

Mengenai hubungan dua hala dengan Azerbaijan, Perdana Menteri berkata, Malaysia berharap dapat mengembangkan kerjasama dan sektor perdagangan dan pelancongan dengan negara tersebut.

“Tidak banyak rakyat Malaysia yang tahu tentang Azerbaijan walaupun ada sebilangan yang tahu Baku kerana tapak-tapak sejarahnya. Ada beberapa rakyat Malaysia yang tinggal di sini dan sudah tentu kita ada Petronas di sini,” katanya.

Selepas kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada 5 April, 1993, Azerbaijan membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada Jun 2007 manakala Kedutaan Malaysia di Baku dibuka pada 1 April, 2014.

Susulan pembukaan Kedutaan Malaysia di sini, Petronas memulakan operasi di sini pada 2015 dan sehingga kini pelaburannya di negara itu dianggarkan bernilai US$5 bilion (RM20.93 bilion).

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619