AGENDA

Pertemuan Anwar, Azmin tak sentuh isu politik

16 Okt 2019, 8:32 AM
Pertemuan Anwar, Azmin tak sentuh isu politik

KUANTAN, 16 OKT: Perjumpaan ringkas antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berlangsung di ruang istirahat Parlimen semalam, langsung tidak menyentuh mengenai politik.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut menyertai pertemuan itu sehingga digelar sebagai 'saksi hidup' dalam pertemuan minum kopi yang berlangsung selama kira-kira setengah jam itu.

"Kami berbincang mengenai perkara serius dan fokus kepada urusan kerajaan, belanjawan dan sektor penerimanya... tapi ia berlangsung dalam keadaan yang ‘jovial’ dan tidak sampai kepada isu parti yang berat.

"Anwar menyentuh tentang kira-kira kadar kemiskinan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mohamed Azmin menyebut tentang mekanisme yang diguna pakai oleh kerajaan," katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Wacana Bersama Menteri dan Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) di kampus Gambang di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Beliau diminta mengulas pertemuan dua pimpinan tertinggi PKR itu yang didakwa tidak sehaluan sejak tahun lepas, yang dirakamkan berlangsung di Parlimen semalam, dengan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut membuat catatan berhubung perkara itu di Twitter.

Pertemuan itu, menurut Saifuddin Nasution, juga berlaku secara spontan selepas beliau selesai menjawab soalan pada persidangan Parlimen dan Anwar memberikan isyarat kepadanya untuk minum kopi dengan secara kebetulan Mohamed Azmin berada di ruang istirahat itu.

"Kami berbincang sambil berdiri seperti biasa sehingga Anwar menegur tak akan hendak berdiri sahaja?... Semuanya seperti biasa dan hanya orang menggambarkan mereka berperang sedangkan hakikatnya tidak begitu dan tidak timbul pun perkara yang digembar-gemburkan itu," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619