AGENDA

KPKT-MoF bincang harga kondominium untuk warga asing

13 Okt 2019, 12:27 PM
KPKT-MoF bincang harga kondominium untuk warga asing

PONTIAN, 13 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung cadangan menurunkan had harga kondominium dan pangsapuri di bandar yang boleh dibeli warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata ia bagi mengkaji semula cadangan tersebut memandangkan terdapat suara rakyat yang tidak bersetuju dengan had penurunan berkenaan.

"Saya akan rujuk balik dengan Kementerian Kewangan sekiranya perlu dikaji semula. Mungkin melihat respons rakyat harus diberi pertimbangan," katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Menurut Zuraida, ramai yang tidak jelas mengenai cadangan berkenaan dengan beranggapan ia dikeluarkan KPKT sedangkan ia di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, KPKT kini lebih menumpukan usaha mempromosikan Malaysia My Second Home (MM2H) dengan menyediakan pakej menarik bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan rancangan itu bagi membantu mengurangkan lambakan unit kondominium dan pangsapuri sedia ada yang tidak terjual berjumlah RM8.3 bilion pada suku 2019.

Beliau menjelaskan pengurangan itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020 dan tidak merangkumi projek baharu yang belum dilancarkan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619