AGENDA

Penganalisis: PAKATAN adil agih peruntukan usahawan ikut kaum

12 Okt 2019, 1:29 PM
Penganalisis: PAKATAN adil agih peruntukan usahawan ikut kaum
Penganalisis: PAKATAN adil agih peruntukan usahawan ikut kaum

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Pengagihan bantuan kewangan kepada usahawan Cina dan India dalam Belanjawan 2020 dilihat sebagai usaha kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bertindak adil kepada semua kaum di negara ini, kata penganalisis ekonomi.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai ketika berkongsi pandangannya berkata, jumlah pengagihan bantuan itu perlu dilihat berasaskan populasi sesuatu kaum dan bukannya daripada perspektif perkauman.

"Peruntukan mengikut kaum membayangkan bagaimana kerajaan bertindak telus, adil, prihatin dalam pembahagian peruntukan berkenaan," katanya sambil menambah belanjawan kali ini lebih peka dalam mengambil kira perspektif luas usahawan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2020 semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pelbagai kemudahan untuk usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antaranya pinjaman RM100 juta di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina dan pinjaman RM20 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India TEKUN Nasional.

[caption id="attachment_357944" align="aligncenter" width="735"] Lim Guan Eng ketika pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen pada 11 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Selain itu, sebanyak RM445 juta diperuntukkan kepada usahawan bumiputera bagi program keusahawanan di bawah TEKUN Nasional, SMECorp, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd, Pelaburan Hartanah Bhd dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera.

Barjoyai berkata, beliau agak terkejut dengan keprihatinan kerajaan dalam memberi peruntukan yang agak besar kepada usahawan kecil dan bumiputera dalam belanjawan kali ini.

"Ini sebenarnya dilihat sebagai langkah positif memandangkan ia memberikan semangat dan minat untuk mengimbangi perkembangan dalam pembangunan perniagaan usahawan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), Datuk David Chua berpendapat pengagihan peruntukan kepada setiap kaum menunjukkan kerajaan memberi layanan yang adil dan saksama kepada semua kaum.

"Konsep pengagihan peruntukan kepada setiap kaum dapat mengelakkan sebarang rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat...sebenarnya (peruntukan) sebegini dapat mengukuhkan hubungan silaturahim antara pelbagai kaum," katanya.

Sementara itu, Presiden Kebangsaan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong berkata, beliau berasa teruja apabila melihat banyak insentif diperuntukkan kepada PKS.

"Belanjawan 2020 ini, adalah paling bagus sebab ia memfokuskan pembangunan ekonomi. Menerusi peruntukan ini, kita akan bekerjasama dengan kerajaan dalam menggiatkan lagi industri perusahaan termasuk digital serta operasi perniagaan secara automasi,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619