AGENDA

Polis tangani kumpulan pengganas ikut SOP - KPN

12 Okt 2019, 5:06 AM
Polis tangani kumpulan pengganas ikut SOP - KPN

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini menegaskan sebarang bentuk ancaman melibatkan kumpulan pengganas ditangani mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya siasatan sentiasa dilakukan secara profesional berdasarkan laporan dan bukti yang diterima polis.

“Kami tidak boleh tergesa-gesa siasat, kena laporan dan bukti baru boleh ambil tindakan, tidak kira sama ada pemimpin politik atau bukan.

“Siasatan yang dijalankan polis adalah adil, saya beri jaminan kepada mereka yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan adalah bagi menghentikan kegiatan itu dari terus ke peringkat yang berbahaya seperti pengebom berani mati. Kami cuba hentikan dan ambil tindakan untuk memulihkannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2019 di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata tindakan penangkapan tidak akan dibuat sesuka hati dan ia tidak mempunyai kaitan dengan isu politik, kaum dan agama.

Beliau berkata individu yang ditahan akan diberi hak mengikut peruntukan undang-undang dan segala tuduhan mengatakan PDRM menafikan hak adalah tidak benar.

"Saya mohon pemimpin politik bertenang. Isu keselamatan adalah tanggungjawab PDRM… saya akan berlaku adil mengikut SOP jika didapati tidak bersalah, kami akan rujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan selanjutnya.

“Sebagai contoh, kamu tidak mahu insiden seperti serangan terhadap Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan Indonesia, Jen Wiranto berlaku di sini (Malaysia). Segala bentuk keganasan akan kita tangani," katanya.

Abdul Hamid berkata polis akan mengambil tindakan terhadap kegiatan yang menjejaskan keamanan negara termasuk kumpulan Jemaah Islamiah (JI), al-Qaeda dan Daesh.

Pada 10 Okt lepas, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan adalah antara tujuh individu yang ditahan kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Penahanan kesemua mereka dibuat dalam operasi polis Bukit Aman di Melaka, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619