AGENDA

Jho Low bertindak sebagai 'consigliere' Najib

10 Okt 2019, 12:37 PM
Jho Low bertindak sebagai 'consigliere' Najib

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low bertindak sebagai ‘consigliere’ atau penasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrol Azral, 49, menggambarkan Jho Low sebagai ‘consigliere’, perkataan Itali yang maknanya dalam kamus Merriam-Webster sebagai “seseorang yang menjadi penasihat atau kaunselor kepada ketua organisasi jenayah”.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada hari ke-20 perbicaraan kes bekas perdana menteri berkenaan melibatkan dana 1MDB.

Semasa disoal Muhammad Shafee sama ada Jho Low mewakili Sultan Mizan Zainal Abidin (Yang di-Pertuan Agong ketika itu) atau Najib dalam hal ehwal Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Shahrol Azral, berkata Jho Low mewakili Najib pada masa itu.

Muhammad Shafee: Sebagai apa?

Shahrol Azral: Sebagaimana dalam perkataan Itali? Consigliere. Dia (Jho Low) adalah orang yang memastikan segalanya berjalan lancar untuk Najib.

Muhammad Shafee: Sebagai apa? Perdana Menteri atau Menteri Kewangan?

Shahrol Azral: Sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan pemegang saham khas TIA, yang kemudiannya dinamakan sebagai 1MDB.

Muhammad Shafee: Sebagai CEO, kamu ini seolah-olah apa yang dikatakan oleh orang Itali sebagai ‘soprammobile’ atau hiasan meja, hanya untuk hiasan. Kamu setuju?

Shahrol Azral: Tidak setuju.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619