AGENSI

Jom meriahkan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM

9 Okt 2019, 3:41 AM
Jom meriahkan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM

SERDANG, 9 OKT: Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menganjurkan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen (EPPK) UPM ke-43 selama tiga hari bermula 15 November.

Pengerusi EPPK ke-43 UPM, Dr Yahya Awang berkata, ekspo yang dibuka secara percuma itu bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam bertempat di Bukit Ekspo UPM.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada pengunjung antaranya pameran pelbagai jenis pokok dan haiwan, penyelidikan serta aktiviti khas untuk kanak-kanak.

"Pameran khas berkonsepkan pertanian bandar turut diadakan dengan mengetengahkan program berbentuk demonstrasi, teknik pengurusan tanaman dan pemeliharaan haiwan kesayangan melalui Klinik Pertanian yang dikelolakan oleh pakar pertanian UPM.

"Semasa EPPK, pengunjung juga berpeluang mendapatkan bahan tanaman berkualiti antaranya anak benih buah-buahan seperti durian, mempelam dan menariknya ia dihasilkan sendiri oleh UPM secara cantuman," katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Yahya berkata, benih buah yang dijual juga mendapat pensijilan Skim Pengesahan Bahan Tanaman yang memperakukan ketulenan baka dan kualiti serta memenuhi standard ditetapkan Jabatan Pertanian.

"Antara anak benih durian yang akan dijual adalah klon Raja Kunyit atau Musang King, Hajah Hasmah dan Duri Hitam dengan harga serendah dari RM18 sepokok.

"Pada masa sama, hasil pertanian seperti sayur-sayuran, cendawan, daging rusa, daging kambing dan daging lembu serta susu segar juga akan dijual yang dihasilkan sendiri oleh UPM," katanya.

Sementara itu, katanya, pengunjung juga dapat melihat gelagat pelbagai jenis kucing dan 15 ayam eksotik berkualiti serta istimewa seperti baka ayam Pekin bersaiz kerdil, berbulu lebat dengan kerjasama Persatuan Unggas Hiasan Malaysia.

Beliau yang juga Pengarah Taman Pertanian UPM berkata, petting zoo turut disediakan khusus untuk kanak-kanak bermain dan melihat haiwan yang dipamerkan antaranya seperti rusa, kambing dan arnab.

"Pengunjung juga tidak perlu khuatir untuk parkir kenderaan mereka kerana kita turut menyediakan tempat letak kereta percuma di beberapa kawasan sekitar kampus dan bas disediakan untuk bawa mereka ke Bukit Ekspo," katanya.

Bagi pempamer atau orang ramai yang inginkan maklumat lanjut berkenaan EPPK boleh melawati Facebook ekspo iaitu https://www.facebook.com/tpuserdang/ atau hubungi talian hotline 03-97697282.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619