AGENDA

Kerajaan wajib lindungi hak rakyat

5 Okt 2019, 1:13 PM
Kerajaan wajib lindungi hak rakyat

PETALING JAYA, 5 OKT: Kebebasan badan kehakiman sangat penting untuk memastikan mahkamah mempunyai kuasa untuk mengkaji tindakan undang-undang yang diambil oleh mana-mana pihak, kata Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang LAWASIA 2019, bertemakan, ‘Kerajaan Perlembagaan: Kepentingan Struktur dan Institusi Perlembagaan, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, konflik antara kuasa kerajaan dan kebebasan individu telah wujud sekian lama tetapi masalah seperti ini memang dijangka dalam negara demokrasi.

“Piawaian tadbir urus yang baik menetapkan pelaksanaan kuasa ini mesti dikawal sedemikian rupa agar tidak mengganggu hak individu.

“Ia adalah pandangan ikhlas saya mengenai kepentingan Perlembagaan dalam institusi awam. Hasilnya ialah wujud kerajaan yang bertanggungjawab yang berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Tengku Maimun juga menekankan kewajipan kerajaan untuk melindungi hak rakyat termasuk kehidupan, kebebasan dan harta benda.

“Sekiranya kerajaan gagal untuk melindungi hak rakyat, rakyat mempunyai hak untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Memetik keputusan penting Mahkamah Persekutuan dalam kes penukaran agama anak M. Indira Gandhi, ketua hakim negara itu berkata, tiada undang-undang yang boleh menyekat kuasa yang ada pada mahkamah untuk semakan kehakiman.

Isu dalam kes ini sama ada penukaran agama kanak-kanak itu kepada Islam tanpa kebenaran ibu mereka dibolehkan untuk semakan kehakiman.

Keputusan penukaran agama yang dibuat oleh badan-badan Persekutuan berkaitan, tidak diterima dalam semakan kehakiman.

“Dalam menolak hujah itu, Mahkamah Persekutuan secara tegas memutuskan semakan kehakiman adalah konsep yang wujud dalam perintah Perlembagaan.

“Kuasa tersebut berfungsi untuk mendukung Perlembagaan. Dapatan keputusan dalam kes Indira Gandhi itu bermaksud bahawa pengawalan prinsip pemisahan kuasa dalam struktur asas memberi makna yang sebenar kepada pemeliharaan teras Perlembagaan,” katanya.

Tengku Maimun berkata, kesan pemisahan kuasa memastikan wujudnya sistem semak dan imbang.

“Inilah sebabnya kenapa cubaan untuk melemahkan pemisahan kuasa dilihat sebagai penghinaan kepada demokrasi secara khusus, dan kepada perlembagaan secara umum,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619