AGENDA

Boleh tukar parti atas sebab kukuh - Dr Mahathir

4 Okt 2019, 8:53 AM
Boleh tukar parti atas sebab kukuh - Dr Mahathir

PETALING JAYA, 4 OKT: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata terserah sepenuhnya kepada Ahli Parlimen jika mereka mahu menukar parti politik, tetapi ia mesti dilakukan atas sebab yang kukuh.

Perdana Menteri berkata perbuatan melompat parti boleh diterima jika mereka merasakan mereka tidak boleh menyumbang kepada kerajaan atau parti mereka sekarang.

“Jika anda mengetengahkan diri anda sebagai ahli sesebuah parti dan disebabkan itu mungkin anda menang, dan selepas itu anda lompat (parti), itu bukanlah setia kepada janji anda sendiri.

“Bagaimanapun, sebaliknya, apabila berhadapan dengan kerajaan yang benar-benar lemah dan anda tidak boleh melompat parti serta terpaksa terus kekal dengan kerajaan, saya fikir ia tidak akan menyumbang kepada tadbir urus yang baik.

“Saya berpendapat anda perlu berupaya untuk lompat dan tukar parti,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Perlembagaan dan Peraturan Perundangan LAWASIA di sini hari ini.

Dr Mahathir ditanya sama ada kerajaan mempunyai sebarang cadangan untuk memperkenalkan undang-undang anti melompat parti.

Beliau menegaskan cita-cita peribadi tidak seharusnya dijadikan sebab untuk melompat parti.

“Bukan sebab anda dapati diri anda rapat dengan perdana menteri, anda bermungkinan menjadi seorang menteri. Jika itulah sebabnya anda melompat parti, itu tidak bagus,” katanya.

Kepada soalan lain berkaitan perpaduan nasional, Dr Mahathir berkata pemupukan perpaduan perlu bermula sejak di peringkat sekolah dan kerajaan pernah mencadangkan supaya sekolah kebangsaan mempunyai tiga kaum utama di bawah satu bumbung tetapi cadangan itu ditolak.

“Adalah penting untuk mempunyai sistem nilai yang baik, terapkannya pada usia yang masih muda (Tetapi) ia sukar kerana kita telah menerima bahawa kaum yang berlainan perlu berada di sekolah yang berlainan. Kami telah mencadangkan sebuah sekolah kebangsaan di mana semua kaum pergi ke sekolah yang sama tetapi cadangan itu ditolak.

“Kami cadangkan tiga buah sekolah di kampus yang sama di mana, semasa perhimpunan, mereka (pelajar) akan bermain bersama-sama, bukan mewakili sekolah, sebaliknya bahagian, kelas, rumah tertentu atau apa saja, tetapi ia ditolak,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau percaya sekiranya cadangan itu dilaksanakan, pelajar akan dapat kenal mengenal antara satu sama lain dan melupakan tentang perbezaan mereka, sekali gus mendukung perpaduan nasional.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619