AGENDA

Hormati pemilik, rumah di Paya Jaras diroboh selepas UPSR

20 Sep 2019, 7:46 AM
Hormati pemilik, rumah di Paya Jaras diroboh selepas UPSR
Hormati pemilik, rumah di Paya Jaras diroboh selepas UPSR

SHAH ALAM, 20 SEPT: Perobohan rumah haram di Paya Jaras ditangguhkan sebelum ini bagi membolehkan anak pemilik menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling dalam kenyataannya juga menjelaskan penangguhan dibuat dua kali sebelum ini, pada 20 Julai 2016 dan 22 Februari 2017.

"Penangguhan kali ketiga sehingga 16 September 2019 bertujuan memberi laluan kepada anak-anak yang menduduki UPSR dan juga sebagai tambahan masa kepada penduduk mengosongkan tapak secara sukarela," katanya hari ini.

Operasi meroboh 45 struktur termasuk kediaman di kawasan projek tebatan banjir Sungai Kedondong pada 18 September melibatkan plot C dan D, sementara plot A dan B belum dijalankan.

[caption id="attachment_353549" align="aligncenter" width="693"] Struktur Sungai Kedondong yang telah dilebarkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI[/caption]

Projek tebatan banjir ini sudah tertangguh bertahun-tahun akibat keengganan penduduk di tanah rizab sungai berpindah, selain proses rundingan yang berterusan dengan Kerajaan Negeri sejak 2015.

Susulan kelewatan itu, Selangor menanggung kerugian jutaan ringgit, selain bencana banjir terus melanda penduduk empat kawasan berdekatan, Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu.

Selain menghormati hasrat pemilik berhubung UPSR, PDT berkata, mereka juga ditawarkan kemudahan memilik kediaman bawah projek Rumah Selangorku.

PDT Petaling juga menegaskan struktur yang diroboh, yang dimiliki oleh 82 individu, tidak melibatkan tanah sah yang bergeran.

"Tiada sebarang struktur kediaman mahupun lain-lain di dalam tanah hak milik (geran) yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan," katanya.

Pada 18 September lalu, PDT dengan kerjasama polis dan agensi lain menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu terhadap struktur yang berada di atas rizab Sungai Kedondong.

Tindakan ini dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah Kerajaan.

Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong bernilai RM5.93 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Selangor bertujuan menangani masalah banjir yang kerap berlaku.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619