AGENSI

Masyarakat perlu ubah persepsi terhadap bidang kuasa APM

13 Sep 2019, 8:39 AM
Masyarakat perlu ubah persepsi terhadap bidang kuasa APM

SHAH ALAM, 13 SEPT: Persepsi masyarakat terhadap peranan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang dilihat sebagai penangkap ular semata-mata perlu diperbetulkan.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kerajaan Negeri Selangor, Muhammad Yasir Yahya berkata, skop kerja pasukan berkenaan sebaliknya lebih besar dan pelbagai dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat awam terus dipelihara.

Katanya, ia termasuk memberikan perkhidmatan pemulihan bagi mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda ekoran bencana atau ancaman musuh.

"Mungkin masih ada masyarakat yang kurang jelas dengan peranan dan tanggungjawab yang dipikul APM sehingga pasukan ini dianggap sebagai 'unsung hero' atau wira yang tak didendang.

"APM sebenarnya lapisan ketiga pertahanan negara selepas Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia memandangkan mereka ini adalah entiti penting yang memberikan bantuan sekiranya berlakunya kes kecemasan, pengurusan bencana serta penyelamat pantai," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Pentauliahan anggota Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) 2019, di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain dan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Pada masa sama, Yasir berkata, beliau memuji inisiatif diambil agensi pemaju hartanah dan pembangunan itu yang menjadi jabatan Kerajaan Negeri pertama di Selangor yang menubuhkan CDERT.

Katanya, komitmen itu membuktikan PKNS mendukung sepenuhnya aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkasa aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"Penubuhan pasukan ini selari skop aktiviti PKNS kerana melibatkan banyak aktiviti pembinaan selain memerlukan anggota kerap berada di tapak-tapak projek yang mendedahkan mereka dengan pelbagai risiko bahaya.

"Dengan adanya anggota terlatih, mereka dapat melaksanakan tindakan awal untuk mengurangkan kerosakan sekiranya berlaku kes kecemasan selain bantuan sokongan kepada pasukan penyelamat," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619