AGENSI

Selangor sumbang 23.7 peratus KDNK Malaysia 2018

10 Sep 2019, 3:26 PM
Selangor sumbang 23.7 peratus KDNK Malaysia 2018

SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor menyumbang 23.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lalu, sekali gus mengekalkan status sebagai penyumbang pelaburan tertinggi berbanding negeri lain.

Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau menyifatkan pencapaian itu luar biasa berikutan sumbangan KDNK meningkat daripada 22.7 peratus pada tahun 2016 dan 23 peratus pada tahun 2017.

"Ia membuktikan Selangor adalah negeri paling maju di Malaysia memandangkan kita turut menawarkan persekitaran mesra perniagaan khususnya darisegi infrastruktur dan kemudahan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor dengan The Hong Kong Chinese Importers and Exporters Association (HKCIEA), di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Politik Rakyat Cina (CPPCC), Leung Chun Ying serta delegasi-delegasi HKCIEA.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Selangor juga kekal sebagai negeri yang memiliki jumlah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tertinggi di negara ini iaitu sebanyak 160 institusi, selain tiga lapangan terbang utama dan pelabuhan kedua terbesar di Asia Tenggara.

"Bertepatan dengan visi untuk menjadi negeri pintar Smart Selangor, Kerajaan Negeri akan terus melabur dan memperbaiki infrastruktur serta sistem penyampaian bagi memenuhi keperluan pelabur.

"Selain itu, kita juga akan sentiasa bergerak secepat mungkin untuk terus meningkatkan pelaburan yang kondusif di Selangor, seterusnya menjadi destinasi pilihan pelabur," katanya.

Sementara itu, Chang Khim berkata, sesi dialog di bawah kelolaan Invest Selangor Bhd dilihat sebagai wadah terbaik untuk mewujudkan rangkaian perniagaan yang berpotensi antara Selangor dan Hong Kong.

Katanya, inisiatif itu juga bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara Selangor dan Hong Kong, terutama dalam sektor perkilangan.

"Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan untuk menarik pelaburan, khususnya dari China ekoran pelaburan dari negara terbabit mencecah RM3.98 bilion pada tahun lalu, manakal pelaburan dari Hong Kong menjangkau RM1 bilion," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619