AGENDA

FRIM pilih UKM bantu pencalonan Tapak Warisan Dunia UNESCO

2 Sep 2019, 1:38 AM
FRIM pilih UKM bantu pencalonan Tapak Warisan Dunia UNESCO

SHAH ALAM, 2 SEPT: Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), bagi membantu proses pencalonan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, projek (pencalonan) itu akan melalui tiga fasa dan akan dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan.

“Fasa pertama adalah penyelidikan perundangan, UKM akan membuat perbandingan berhubung tapak warisan UNESCO lain bagi mendedahkan FRIM terhadap isu yang akan dihadapi apabila mendapat status itu.

“Data penyelidikan akan dianalisis dan diterbitkan serta dirujuk sebagai 'dossier' pencalonan FRIM bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Pelan Pengurusan Pemuliharaan tapak warisan FRIM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UKM dan FRIM, baru-baru ini.

Dr Abdul Wahab berkata, fasa kedua adalah penyediaan undang-undang kecil bagi pemerkasaan perundangan FRIM yang dilihat masih mempunyai kepincangan.

"Untuk fasa terakhir, penyelidik UKM akan menyediakan modul latihan dan mengadakan sesi latihan kepada pegawai penguat kuasa serta pentadbiran FRIM berhubung perundangan berkaitan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mahmod berkata, implementasi aspek perundangan melalui penggubalan undang-undang kecil tapak warisan perlu bagi menjamin kecekapan pengurusan dan pemuliharaan hutan warisan supaya terhindar daripada ancaman serta halangan.

“Harapan dan impian saya adalah bagi memastikan FRIM menjadi kawasan bersejarah bukan sahaja sebagai 'the biggest forest' tetapi satu-satunya harta yang perlu dilindungi.

“Terima kasih kepada UKM kerana sanggup mengambil inisiatif ini bersama FRIM untuk memastikan projek ini berjaya,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619