AGENSI

Malaysia Bersih 2019 wujudkan jati diri unggul

18 Ogos 2019, 4:37 AM
Malaysia Bersih 2019 wujudkan jati diri unggul

SHAH ALAM, 18 OGOS: Jabatan Penerangan (JaPen) meneruskan penganjuran Program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih 2019 sempena sambutan Bulan Kebangsaan bagi tahun keempat pada tahun ini.

JaPen dalam kenyataan, memaklumkan program itu mampu mewujudkan masyarakat yang memiliki jati diri unggul, memahami dan menerima falsafah serta dasar negara.

Katanya, ia dilaksanakan di empat lokasi dan yang pertama berlangsung di MYDIN USJ, Subang Jaya, dekat sini pada 16 hingga 18 Ogos.

“Program ini berkonsepkan pameran komunikasi visual secara bersemuka yang mendapat kerjasama daripada pelbagai jabatan, agensi, pihak swasta, badan bukan kerajaan, media dan MYDIN Mohamed Holdings Bhd (MYDIN).

“Ia menterjemahkan aspirasi kerajaan dalam memupuk semangat solidariti pelbagai kaum yang erat demi mewujudkan negara bersatu padu,” katanya.

Pada masa sama, JaPen berkata, tiga kawasan lagi akan dilaksanakan di MYDIN Mutiara Rini, Skudai, Johor, pada 22 hingga 24 Ogos; MYDIN Bukit Mertajam, Pulau Pinang (6 hingga 8 September) dan MYDIN Seremban 2, Negeri Sembilan (13 hingga 15 September).

“Kami berharap menerusi program ini dapat menyampaikan maklumat serta dasar kerajaan dan seterusnya menyalurkan impak positif dalam kalangan masyarakat terutama pengunjung yang hadir mengenai perjuangan utama Malaysia Baharu,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penerangan, Roselindawati Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.

Pelbagai pengisian menarik sepanjang tempoh pelaksanaan program antaranya Pameran Raja Kita, Pameran Koleksi Logo Hari Kebangsaan, Sudut Karikatur dan Persembahan PENTARAMA.

Selain itu, turut diadakan Pertandingan Bintang Patriotik, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan, Pertandingan Mewarna Untuk Kanak-kanak, Kuiz Kenegaraan, Sudut Tayangan Multimedia serta Video Kenegaraan dan Tayangan Filem.

Orang ramai dijemput memeriahkannya di tiga lokasi lain Program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih 2019 nanti.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619