AGENSI

MBI: Modal insan tonggak utama perkasa syarikat

16 Ogos 2019, 9:12 AM
MBI: Modal insan tonggak utama perkasa syarikat

SHAH ALAM, 16 OGOS: Pemerkasaan modal insan menjadi tonggak utama bagi sesebuah syarikat untuk melangkah maju ke hadapan, demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.

Justeru, MBI berusaha memantapkan modal insan dengan mendorong kakitangannya mendapatkan sijil bertauliah daripada institusi pendidikan.

"Kami bertanggungjawab untuk memberi tumpuan kepada kakitangan kerana mereka adalah aset berharga dalam syarikat.

"MBI mahu kakitangan sedia ada mempunyai kemahiran yang baik serta mampu melatih orang baru dengan lebih baik, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih efektif," katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghargaan Kakitangan MBI dan anak syarikat Lulus Diploma Kemahiran Malaysia di UMW Toyota Training Centre, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MCS College Banting, Tan Sri Dato' Seri Paduka Dr Shafie Mohd Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif MCS College Banting, Dr Ravinthiran Ramasamy dan Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran MBI, Mohamad Zaidi Jaafar.

Pada majlis berkenaan, seramai 23 graduan berjaya menamatkan pengajian dan menerima Diploma Kemahiran Malaysia.

Pada masa sama, Raja Shahreen berkata, program yang julung kali diadakan itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

"Saya sentiasa cuba mencabar kakitangan, jika sudah mempunyai diploma, ke mana kita selepas ini. Untuk pengetahuan saya sendiri bekerja dan belajar, namun kena pandai bahagi masa dan tidak dinafikan cabaran memang ada.

"Sokongan keluarga juga antara faktor penting membolehkan kita berjaya, pengorbananan adalah perkara paling penting jika kita sentiasa mahu meletakkan diri pada aras yang terbaik," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619