AGENDA

Pastikan keselamatan dan kesihatan semasa laksana ibadah korban - MSOSH

10 Ogos 2019, 10:09 AM
Pastikan keselamatan dan kesihatan semasa laksana ibadah korban - MSOSH

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) mengingatkan umat Islam yang akan menjalankan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha agar meletakkan aspek keselamatan dan kesihatan sebagai satu keutamaan ketika menjalankan ibadah itu.

Presidennya, Khairuddin Hairan berkata pengendalian proses penyembelihan binatang ternakan mesti menitikberatkan elemen keselamatan agar kes maut akibat ditendang ketika cuba mengikat kaki lembu di Kuala Krai pada 2017, dapat dielakkan.

Oleh itu, katanya pihak yang mengendalikan ibadah korban sama ada di surau, masjid atau di tempat-tempat lain perlu melakukan tindakan proaktif dengan melakukan penilaian risiko keselamatan dan kesihatan sebelum melakukan ibadah korban seperti mengenal pasti situasi dan perilaku berbahaya yang berpotensi mendatangkan kemalangan dan kecederaan.

“Ibadah korban binatang ternakan yang akan menggunakan peralatan tajam seperti pisau, parang, tali yang menambat binatang ternakan boleh menjadi satu alat yang boleh mencederakan peserta terlibat.

“Pisau dan parang yang tidak disimpan dalam sarung ketika dipegang mahupun diletak dalam keadaan statik adalah contoh perilaku berbahaya yang boleh menyebabkan kecederaan diri sendiri dan orang sekeliling,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Khairuddin berkata taklimat keselamatan sebelum memulakan ibadah korban perlu dilakukan agar semua yang terlibat sama ada sebagai penyembelih, pengendali binatang ternakan, pelapah dan orang ramai yang akan menyaksikan ibadah korban dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619